Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (ketika memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri) semasa menjawab soalan pada persidangan di Dewan Negara pada 08 Mei 2007 menyatakan bahawa kebanyakan kes perceraian secara fasakh yang tertunggak di Mahkamah Syariah adalah berpunca daripada masalah plaintif, defendan atau peguam syari’e dan bukannya disebabkan oleh pentadbiran Mahkamah. Malah menurut statistik pada Mei 2009-Mac 2010 di Sekretariat Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (SENADA), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, aduan yang paling banyak diterima adalah berhubung isu-isu wanita dan perundangan syariah.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kelewatan penyelesaian kes di Mahkamah, namun yang pastinya plaintif dan defendan turut menyumbang kepada penangguhan kes di Mahkamah Syariah seperti kejahilan pihak tersebut mengenai prosedur di Mahkamah, ketidakhadiran pihak-pihak pada tarikh sebutan dan perbicaraan, kelemahan dari aspek pembuktian dan sebagainya.
Sehubungan dengan itu, bertitik tolak daripada permasalahan yang dinyatakan tersebut maka PERUNDING ALAM BAHAGIA dengan sedikit pengalaman yang dimiliki akan sedaya mungkin membantu masyarakat di luar sana yang menghadapi kekeliruan, konflik dan kurang arif mengenai hal ehwal perundangan syariah. Adalah perlu ditekankan bahawa blog ini merupakan sebahagian cetusan tanggungjawab PERUNDING ALAM BAHAGIA dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dalam mewujudkan masyarakat CELIK UNDANG-UNDANG. Insya ALlah...
Perunding Alam Bahagia mengalu-alukan sebarang persoalan berhubung isu-isu syariah serta prosedur yang dihadapi ketika berurusan dengan Mahkamah Syariah. Sebarang persoalan, boleh diemailkan kepada bahruilmi@yahoo.com. Walaubagaimanapun, pihak perunding berhak untuk memilih/mengabaikan persoalan-persoalan yang tidak relevan.