Sunday, April 11, 2010

IDDAH LELAKI

SOALAN:

Terima kasih kerana kesudian Perunding Alam Bahagia membantu masyarakat dalam menghadapi konflik dan kekeliruan berhubung isu syariah dan perundangan. Tuan/Puan, kita hanya mendengar bahawa iddah hanya eksklusif untuk kaum wanita sahaja. Soalan saya, adakah wujud iddah kepada kaum lelaki? Jika wujud, dalam keadaan manakah lelaki perlu beriddah?

Jasmeen, Klang.

JAWAPAN:

Terima kasih kepada Puan/Cik Jasmeen kerana mengemukakan soalan yang jarang kita terokai untuk dikongsi bersama pembaca budiman yang lain. Pada asasnya, tiada ’iddah bagi lelaki. Ini kerana lelaki boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja beliau bercerai selagi mana tidak terdapatnya halangan syara’. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat halangan syara’, maka seseorang lelaki hendaklah menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut.

Terdapat tiga keadaan yang menyebabkan seseorang lelaki perlu melalui tempoh menunggu ataupun ’ber’iddah’. Pertama, apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh ’iddah isterinya yang diceraikan tersebut.

Kedua, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka beliau hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat ’iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.

Ketiga, apabila seseorang lelaki yang telahpun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi sedemikian, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh ’iddah isterinya berakhir terlebih dahulu.