Sunday, April 11, 2010

IDDAH LELAKI

SOALAN:

Terima kasih kerana kesudian Perunding Alam Bahagia membantu masyarakat dalam menghadapi konflik dan kekeliruan berhubung isu syariah dan perundangan. Tuan/Puan, kita hanya mendengar bahawa iddah hanya eksklusif untuk kaum wanita sahaja. Soalan saya, adakah wujud iddah kepada kaum lelaki? Jika wujud, dalam keadaan manakah lelaki perlu beriddah?

Jasmeen, Klang.

JAWAPAN:

Terima kasih kepada Puan/Cik Jasmeen kerana mengemukakan soalan yang jarang kita terokai untuk dikongsi bersama pembaca budiman yang lain. Pada asasnya, tiada ’iddah bagi lelaki. Ini kerana lelaki boleh berkahwin dengan mana-mana perempuan sebaik sahaja beliau bercerai selagi mana tidak terdapatnya halangan syara’. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat halangan syara’, maka seseorang lelaki hendaklah menunggu sehingga hilangnya halangan tersebut.

Terdapat tiga keadaan yang menyebabkan seseorang lelaki perlu melalui tempoh menunggu ataupun ’ber’iddah’. Pertama, apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh ’iddah isterinya yang diceraikan tersebut.

Kedua, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka beliau hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat ’iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.

Ketiga, apabila seseorang lelaki yang telahpun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi sedemikian, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh ’iddah isterinya berakhir terlebih dahulu.

IDDAH

Assalamu’alaikum, Tuan/Puan,

SOALAN:

Saya sekarang sedang di dalam proses permohonan pengesahan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak. Suami saya telah melafazkan talaq 1 dengan berkata ’Aku ceraikan ko dengan talaq 1’ pada 22 Disember 2009. Mahkamah telah menetapkan tarikh pada bulan Mei 2010 sebagai keputusan samada talaq yang dilafazkan oleh suami saya adalah sah ataupun tidak. Soalan saya, bilakah tarikh saya patut memulakan ’iddah. Adakah tarikh ketika suami jatuhkan talaq ataupun ketika Mahkamah mengesahkan talaq tersebut?

Iena, Taiping.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana soalan Puan tersebut. Secara umumnya, apabila berlaku perceraian, maka perempuan yang diceraikan hendaklah memulakan ’iddah dengan serta-merta. Di dalam kes Puan, sekiranya Mahkamah mengesahkan bahawa talaq yang dijatuhkan oleh suami Puan pada 22 Disember 2009 adalah sah, maka kiraan ’iddah bermula semenjak hari perceraian dijatuhkan oleh pihak suami dan bukannya dikira daripada tarikh Mahkamah Syariah mengesahkan perceraian tersebut.

NUSYUZ


SOALAN:

Boleh Tuan/Puan terangkan apa itu nusyuz dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah atau menghentikan tabiat ini?

Azlan,Seremban

JAWAPAN:


Imam Muhammad Abduh berpendapat nusyuz meliputi semua derhaka yang disifatkan oleh sifat kesombongan dan pembangkangan. Menurut Dr. Hamka, nusyuz bermaksud tidak patuh dan tidak taat samada kepada Allah s.w.t ataupun suami sebagai pemimpin.

Kesalahan nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu samada melalui percakapan ataupun perbuatan. Di dalam kitab fiqh, terdapat beberapa contoh yang dinyatakan sebagai nusyuz sepertimana berikut:


NUSYUZ MELALUI PERCAKAPAN

1) Isteri bercakap secara kasar dan tidak beradab seperti menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suaminya;

2) Isteri yang memburuk-burukkan dan mengata-ngata keluarga suaminya tanpa sebarang sebab yang munasabah;

3) Isteri berperangai tidak baik seperti mengumpat, batu api, mengadu domba, pendusta dan sebagainya;

4) Suami yang boikot isterinya seperti tidak mahu bercakap dengan isterinya atau jika bercakap pun dengan nada menengking, kasar dan sebagainya;

5) Suami yang mengesyaki isterinya tanpa sebarang sebab yang munasabah;

6) Suami yang mengarahkan isterinya melakukan perbuatan yang melanggar syara’.


NUSYUZ MELALUI PERBUATAN

1) Isteri yang menolak pelawaan suaminya untuk melakukan hubungan seksual, tidak membenarkan suami memegangnya, mengunci pintu dari suaminya dan apa jua perbuatan yang menyebabkan suaminya hilang hak untuk istimta’/ berseronok dengan isterinya;

2) Isteri yang keluar dari rumah tanpa kebenaran dari suaminya tanpa sebab yang munasabah yang dibenarkan syara’;

3) Isteri yang enggan bermusafir dengan suaminya;

4) Isteri yang enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain;

5) Isteri yang mengkhianati suami dari segi harta dan peribadinya;


6) Isteri yang tidak mendandan dirinya dengan sebaiknya;
7) Isteri yang berpuasa sunat atau melakukan ibadat-ibadat lain tanpa kebenaran dari suami;

8) Isteri yang tidak menjalankan tanggungjawab peribadatan seperti tidak bersembahyang, berpuasa dan sebagainya;

9) Suami yang meninggalkan hubungan seksual dengan isterinya tanpa alasan yang dibenarkan syara’;

10) Suami yang melakukan perbuatan kejam dan zalim seperti memukul atau melayani isterinya dengan sifat kebencian;

11) Suami yang tidak menyediakan nafkah yang sewajarnya kepada isterinya;

12) Suami yang melakukan liwat atau mengasari isterinya semasa melakukan hubungan seksual;

Berdasarkan kepada contoh-contoh perbuatan nusyuz di atas dapat disimpulkan bahawa perbuatan nusyuz berkait rapat dengan perlakuan yang tidak sopan, ketiadaan perasaan hormat dan tolak ansur menurut hukum syara’ serta pengabaian pihak-pihak untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri. Walaubagaimanapun, tidak semua konflik rumahtangga boleh dikategorikan sebagai nusyuz. Ini kerana perbuatan nusyuz merupakan perlanggaran terhadap tanggungjawab oleh suami ataupun isteri secara melampau dan wujudnya penganiayaan dalam kehidupan berumahtangga.


LANGKAH MENANGANI NUSYUZ

Al-quran telah menetapkan prosedur bagi menangani perbuatan nusyuz yang dilakukan oleh isteri ataupun suami sepertimana berikut:

ISTERI NUSYUZ

Al-quran di dalam surah an-Nisa’, ayat 34 telah menetapkan beberapa panduan yang boleh diambil oleh suami bagi menyelesaikan konflik yang timbul akibat nusyuz melalui tiga langkah utama. Pertama, suami hendaklah menggunakan kaedah slow talk atau menasihati isteri dengan memberikan peringatan bahawa perbuatan isteri tersebut adalah bersalahan dengan hukum syara’ dan kehendak Islam. Sekiranya kaedah tersebut tidak memberikan apa-apa kesan kepada isteri, maka kaedah pemulauan boleh dilakukan dengan tidak berseketiduran dengan isterinya.

Dan sekiranya kedua-dua langkah tersebut menemui kegagalan serta tidak wujud kesedaran di dalam diri isteri, maka suami dibenarkan untuk mengenakan pukulan ringan kepada isterinya. Pukulan yang dikenakan oleh suami bukanlah bertujuan untuk menyakiti, menghukum ataupun memalukan isteri tetapi ia merupakan ’pukulan sayang’ yang bertujuan untuk membentuk disiplin isteri. Adalah perlu diingatkan bahawa langkah penyelesaian ini hendaklah mengikut turutan dan dilakukan untuk mengembalikan keharmonian rumahtangga tanpa wujudnya penyalahgunaan kuasa yang diberikan oleh hukum syara’.

SUAMI NUSYUZ

Al-quran juga telah menetapkan prosedur bagi menangani suami nusyuz sepertimana yang terdapat di dalam surah an-Nisa’:128 iaitu melalui nasihat dan perdamaian. Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak memberi kesan kepada suami maka jalan terakhir adalah dengan memohon perceraian di Mahkamah.

SUAMI DAN ISTERI NUSYUZ

Apabila perbuatan nusyuz dilakukan oleh kedua-dua belah pihak, maka hakam hendaklah dibentuk bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang timbul melalui perantaraan kaum keluarga. Sebagai contoh, masing-masing isteri dan suami melantik salah seorang daripada kaum keluarga masing-masing bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul dan seterusnya mencari jalan terbaik bagi mengembalikan keharmonian rumahtangga. Konsep perlantikan hakam ini boleh dilihat menerusi ayat 35, surah an-Nisa’.

Berdasarkan ayat-ayat al-quran tersebut, dapat disimpulkan bahawa permasalahan nusyuz hendaklah diselesaikan secara bijaksana oleh suami ataupun isteri tanpa melibatkan pihak ketiga. Walaubagaimanapun, sekiranya segala langkah pemulihan telah diambil namun tidak terdapat sebarang perubahan positif, maka pihak yang terkilan tersebut hendaklah menggunakan hakam (orang tengah) ataupun memfailkan permohonan perintah taat atau pensabitan nusyuz di Mahkamah Syariah.